Jenazah Bapa Mertua TYT Sabah Selamat Dikebumikan

Jenazah Bapa Mertua TYT Sabah Selamat Dikebumikan

0
SHARE
Tyt
Bacaan talkin diketuai oleh Kalana (kiri, depan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KENINGAU, SABAH – Jenazah bekas Ahli Dewan Negara Tan Sri Rasan Majanun Jasni @ R.M. Jasni, 87, selamat dikebumikan di Raudatul Mukmin Tanah Perkuburan Islam Batu 26 pada jam 2.30 petang.

Hadir ke majlis pengebumian tersebut ialah menantu allahyarham, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang diiringi Mufti Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, mantan ADUN Balung Datuk Osman Jamal dan isteri, Datin Yohani R.M Jasni.

Bacaan talkin diketuai oleh Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Keningau, Kalana Lias diikuti bacaan tahlil dan doa oleh Bungsu, sebelum sesi menyiram air ke pusara allahyarham yang didahului Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah, Osman dan Yohani, cucunda, Datuk Al Hambra Juhar serta waris terdekat.

Allahyarham R.M Jasni meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Keningau pada jam tiga pagi semalam, di bawa ke kedimannya di Keningau Hill sebelum dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Ar Rahman Pekan Keningau.

Kira-kira 300 jemaah menyertai solat jenazah tersebut yang diimamkan Mufti Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dengan kira-kira 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga.

Allahyarham R.M Jasni yang dilahirkan pada 4 Mei 1936 pernah menjawat beberapa profesion antaranya guru, penyampai dan pembaca berita tv sambilan di RTM Sabah, ADUN Bingkur pada tahun 1975 sebelum dilantik menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal dari 1982 hingga 1986. — JABATAN PENERANGAN SABAH