KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah telah membunuh lima ekor buaya dalam sebuah operasi berikutan tiga kes serangan berasingan.
Pengarah JHL, Augustine Tuuga berkata, operasi itu menyasarkan buaya yang besar di kawasan tertentu bagi melindungi penduduk di daerah Kota Belud, Lahad Datu dan Tawau.
“Kami sudah menembak empat ekor buaya di Kota Belud dan satu di Lahad Datu.
“Buaya yang dibunuh itu mungkin tidak terlibat dalam serangan tetapi masih menimbulkan ancaman kepada orang ramai di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat seorang lelaki ditemui di Sukau, Kinabatangan semalam selepas dibaham buaya ketika mencuci kain di tebing sungai.
Sementara itu, pencarian tanpa sebarang tanda positif berlangsung bagi dua nelayan, 43 dan 50, yang juga dibaham di Kampung Mas Mas di Tawau dan Silabukan di Lahad Datu.






