JKPK Kekal Pendirian Tidak Teruskan PLKN 3.0 Kerana Objektif, Sasaran Pencapaian Tidak...

JKPK Kekal Pendirian Tidak Teruskan PLKN 3.0 Kerana Objektif, Sasaran Pencapaian Tidak Jelas

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia kekal dengan pendiriannya supaya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak diteruskan.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata JKPK sudah pun diberi penerangan mengenai konsep dan format baharu itu, namun ia tidak memenuhi justifikasi yang sudah dinyatakan sebelum ini.

“Justifikasi sudah dinyatakan selepas taklimat bersama Kementerian Pertahanan serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) tempoh hari.

“Bagaimanapun sekiranya kerajaan tetap ingin melaksanakannya juga, mesti ada kajian yang lebih teliti dan mendalam dilakukan supaya perkara sama tidak berulang kembali.

“Kami sedia mengundang kehadiran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat JKPK dan bentangkan mengenai kajian mereka untuk meneruskan PLKN itu.

“Sebelum ini, kami juga sudah pun menjemput Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk berbincang,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian, semalam.

November lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dilaporkan berkata, PLKN 3.0 akan bermula pada 12 Januari depan dengan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, ia merupakan latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan dengan latihan berkenaan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit.

Bagaimanapun, pada Khamis lalu (5 Dis), Saifuddin menegaskan, JKPK yang dianggotai sembilan ahli Parlimen itu turut mengemukakan tujuh justifikasi berhubung penolakan PLKN 3.0.

Antaranya pelaksanaan latihan itu tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas dan merupakan masalah berlanjutan (legasi) akibat objektif dan sasaran PLKN 1.0 yang tidak jelas.