JPJ Tawarkan Diskaun Saman 80% Bermula 9 Hingga 12 Disember 2021

JPJ Tawarkan Diskaun Saman 80% Bermula 9 Hingga 12 Disember 2021

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun saman 80 peratus (80%) bermula 9 hingga 12 Disember ini.

Menurut JPJ, pengurangan kadar kompaun diberikan kepada semua saman bagi kesalahan disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003.

“Bagaimanapun, kes dalam perbicaraan dan berstatus waran tangkap serta kes yang masih dalam tindakan senarai hitam, tidak layak mendapat pengurangan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kenyataan itu berkata, tawaran diskaun saman juga diberikan kepada semua notis saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dibuat dalam tempoh empat hari tawaran itu dilaksanakan.

“Pembayaran saman boleh dibuat di semua Pejabat Negeri, Cawangan JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) JPJ di seluruh negara, kiosk JPJ serta secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

“Walau bagaimanapun, bagi pesalah lalu lintas yang disenarai hitam, pesalah dikehendaki hadir ke kaunter JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan,” katanya.

JPJ turut menyarankan orang ramai untuk membuat semakan status saman terlebih dahulu terutama rekod yang membabitkan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) melalui portal mySIKAP JP, atau mana-mana Kaunter Pejabat JPJ.

Dalam pada itu, katanya penduduk di Lembah Klang boleh mendapatkan diskaun saman pada acara sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember ini.

JPJ juga akan menyediakan kemudahan Mobile Unit JPJ dan Kiosk JPJ di KLCC untuk tujuan memudahkan orang ramai melaksanakan urusan berkenaan sepanjang berlangsungnya acara itu.