KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 3,200 pelanggan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah akan menerima salinan sijil kelahiran mereka selewat-lewatnya pada minggu hadapan akibat pencetakan yang tertangguh di seluruh negeri sejak awal Oktober tahun ini.
Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin memohon maaf bagi pihaknya atas kesulitan itu sambil menjelaskan kertas sijil khas bagi Sabah kehabisan stok kerana timbulnya masalah dari bahagian pembekal di negara China.
“Alasan pengilang adalah disebabkan berlakunya kejadian banjir di negara berkenaan baru-baru ini yang mengakibatkan bekalan kertas tidak dapat dihasilkan dan dihantar mengikut jadual…
“Kami juga tidak dapat meminjam kertas sijil daripada negeri-negeri lain kerana ciri-ciri keselamatan yang ada padanya unik bagi negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan warganet yang ditonjolkan dalam sebuah portal berita tempatan yang mengatakan mereka terpaksa menunggu sijil kelahiran mereka selama 10 bulan tanpa khabar.
“Hal ini baru sahaja berlaku dalam tempoh dua bulan yang lalu. Bagi mereka yang ingin membawa bayi mereka yang baru lahir ke luar negeri boleh menggunakan kepingan slip sijil kelahiran yang kami telah sediakan,” jelasnya.
Menurutnya, isu kehabisan bekalan stok itu turut berlaku di JPN Sarawak manakala stok bekalan sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun 2021 adalah 24,801 keping untuk pengagihan kepada kesemua 29 cawangan seluruh negeri.
“Sejumlah bekalan kertas tersebut telah tiba di Malaysia dan melepasi pemeriksaan Kastam pada 6 Disember…
“Semakan lanjut juga mendapati bahawa kertas tersebut telah terima oleh syarikat percetakan pada 8 Disember bagi proses cetakan sijil kelahiran,” tambahnya.
Khairrul berkata bagi mengelakkan berlakunya sebarang kelewatan yang diluar jangkaan, pegawai JPN Negeri Sabah akan mengambil sendiri bekalan stok sijil kelahiran yang telah selesai dicetak pada minggu hadapan di Ibu Pejabat JPN Putrajaya.
“Mereka akan membawa bekalan tersebut sendiri untuk edaran segera kepada semua pejabat JPN seluruh Sabah,” katanya sambil menambah JPN Sabah menghasilkan lebih kurang 200 keping sijil kelahiran setiap hari.





