JUFAZLI MENGAKU TIDAK BERSALAH HINA PM DAN UMNO

JUFAZLI MENGAKU TIDAK BERSALAH HINA PM DAN UMNO

0
SHARE
Jufazli dihadapkan ke mahkamah Kuala Lumpur pada 7 Julai yang lalu atas tuduhan menghina bekas Perdana Menteri dan UMNO...(Foto ihsan Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR – Aktivis politik bebas, Jufazli Shi Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Siber hari ini atas EMPAT (4) pertuduhan termasuk membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menerusi aplikasi Tiktok dan Youtube.

Jufazli, 33, yang juga bekas calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) didakwa memuat naik DUA (2) video jelik terhadap Perdana Menteri Malaysia dan UMNO pada 1 Julai 2022 dan pada 23 Jun 2022 melalui aplikasi Youtube dan TikTok melalui akaun @King Maker.

Jufazli selaku Orang Kena Saman (OKS) telah didakwa memuat naik video bertajuk “Pak Mail dan UMNO naikkan harga barang sangat mahal” pada 1 Julai 2022 dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi TikTok miliknya dan turut memuat naik video bersifat jelik di YouTube melalui akaun ‘King Maker Politik’ bertajuk “Panas!! Supermodel Kantoi Merompak RM77.3 bilion” pada 3 petang 27 Jun 2022.

Pautan video itu dibaca dan dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 3 petang pada 24 Jun dan 1 Julai lalu

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling yang dibantu oleh Nadia Mohd Izhar, menawarkan jaminan RM40,000 bagi keempat-empat pertuduhan serta memohon mahkamah mengeluarkan perintah melarang OKS membuat sebarang penghantaran jelik dan palsu di mana-mana platform komunikasi sehingga kes selesai.

Peguam Rajsurian Pillai pula merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan Jufazli tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah membenarkan Jufazli diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan serta melarangnya membuat apa-apa kenyataan berkaitan kes itu sehingga ia selesai.

Nor Hasniah menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan PERTAMA Jufazli didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali dan hendaklah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan KEDUA, Jufazli yang juga graduan sarjana kelas pertama sains politik turut didakwa atas gagal memberi capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbit miliknya iaitu gagal memberi kata laluan kepada laman profil aplikasi Tik Tok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker Politik’ yang diminta oleh pihak polis.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Dang Wangi pada pukul 12.10 tengah hari dan 3 petang pada 5 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ini, Jufazli didakwa mengikut Seksyen 249 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.