PARIS, PERANCIS – Gejala COVID-19 masih dirasai oleh bekas pesakit yang dijangkiti virus itu apabila satu kajian mendedahkan ramai individu dikesan masih bergejala lesu dan sesak nafas dalam tempoh setahun selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19.
Kajian baharu itu didedahkan di China yang mana mereka mendalami kesan jangka panjang virus berkenaan terhadap kesihatan mangsa.
AFP melaporkan dengan memetik kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan British, The Lancet, hari ini, kira-kira separuh daripada pesakit COVID-19 yang sudah 12 bulan keluar dari hospital, masih menderitai sekurang-kurang satu gejala berterusan yang mana kebanyakannya adalah lesu atau otot lemah.
Berdasarkan kajian terhadap keadaan dikenali sebagai ‘COVID-19 panjang’ itu, setiap satu daripada tiga pesakit didapati masih mengalami sesak nafas, selepas diagnosis setahun lalu.
Malah, angka itu lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang mengalami jangkitan teruk.
“Tanpa rawatan yang terbukti ataupun panduan pemulihan, ‘COVID-19 panjang’ memberi kesan terhadap keupayaan menjalani semula kehidupan normal serta daya bekerja…
“Kajian itu menunjukkan ramai pesakit akan mengambil masa lebih setahun untuk pulih sepenuhnya daripada COVID-19,” menurut The Lancet dalam penulisan diterbitkan bersama kajian berkenaan.
Sambil menyifatkan ‘COVID-19 panjang’ sebagai cabaran perubatan moden, penulisan itu turut menggesa supaya lebih banyak kajian dilakukan bagi mempertingkat kefahaman berkaitan dan penjagaan terhadap pesakit.
Kajian berkenaan membabitkan hampir 1,300 orang dirawat di hospital akibat jangkitan COVID-19 antara Januari hingga Mei 2020 di Wuhan.
Pemerhatian mendapati bilangan pesakit terbabit yang masih mengalami sekurang-kurang satu gejala, menurun daripada 68 peratus (68%) selepas tempoh enam bulan, kepada 49 peratus (49%) selepas tempoh 12 bulan.
Namun, bilangan pesakit berdepan masalah pernafasan meningkat daripada 26 peratus selepas tempoh enam bulan, kepada 30 peratus selepas tempoh 12 bulan.
Selain itu, golongan wanita didapati lebih terkesan dengan gejala lesu atau otot lemah yang berterusan serta gelisah atau murung, berbanding lelaki.
Bagaimanapun, menurut kajian itu, sebanyak 88 peratus (88%) daripada pesakit yang bekerja sebelum diagnosis, sudah kembali bertugas selepas tempoh setahun.