Kajian IDS Mendapati Orang Tengah Dan Akses Terhad Punca Kemiskinan di Sabah

Kajian IDS Mendapati Orang Tengah Dan Akses Terhad Punca Kemiskinan di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah hampir melengkapkan kajian besar mengenai pembasmian kemiskinan, dengan mendapati amalan penggunaan orang tengah dan isu aksesibiliti menjadi punca utama komuniti terus terperangkap dalam kemiskinan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Bercakap semasa Majlis Sambutan Hari Raya 2025 anjuran IDS bersama Jabatan Meteorologi dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Azizah memaklumkan hampir 50 peratus projek kajian di lapan daerah sudah disiapkan, dan keseluruhan dijangka selesai tahun ini.

“Kajian awal menunjukkan nelayan luar bandar, misalnya, sering menjual hasil tangkapan kepada orang tengah yang meraih keuntungan lebih besar. Ini menyebabkan pendapatan mereka kekal rendah dan menghalang peningkatan taraf hidup,” katanya.

Selain itu, isu akses yang lemah, khususnya di kampung-kampung terpencil seperti di Kota Marudu dan Ranau, turut menyukarkan komuniti untuk memasarkan hasil mereka.

“Ramai penduduk kaya dengan sumber semula jadi, tetapi tidak dapat mengubahnya menjadi pulangan ekonomi kerana masalah jarak dan infrastruktur,” jelas Azizah.

IDS kini bekerjasama dengan agensi negeri untuk mencadangkan penambahbaikan infrastruktur, memperkasa industri hiliran tempatan, dan memajukan usahawan kecil, terutamanya wanita dan belia melalui program seperti Dayang bersama Sabah Credit Corporation.

Isu akses pendidikan juga dibangkitkan, dengan ramai anak luar bandar tidak dapat meneruskan pelajaran akibat kemiskinan dan jarak jauh ke sekolah.

Azizah yakin dengan komitmen berterusan, projek dan dapatan kajian ini akan membantu membentuk strategi pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan di Sabah. IDS sedang menjalankan sebanyak 135 projek pembangunan bagi tahun ini.