KOTA KINABALU: Sebanyak 18 kompaun bernilai RM9,000 telah dikeluarkan kepada peniaga dan pengiklan yang melanggar Undang-Undang Kecil Bandaraya Kota Kinabalu (Iklan) 1983 dalam Operasi Iklan 1.0 yang digerakkan oleh Jabatan Pelesenan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak awal Mei.
Operasi bersepadu itu menyasarkan pelbagai jenis iklan haram dan tidak berlesen termasuk papan tanda premis perniagaan, iklan gegantung (bunting), sepanduk (banner), serta iklan tanpa permit sah dan yang telah tamat tempoh.
Kawasan yang terlibat merangkumi pusat bandar, Inanam, Kepayan dan Lido.
“Peniaga dan pengiklan diingatkan agar memastikan mereka memiliki lesen iklan yang sah daripada DBKK bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000,” kata kenyataan Jabatan Pelesenan DBKK.
Menurut jabatan itu, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan iklan berada pada tahap optimum.
Kawasan seperti Lintas, Tanjung Aru, Likas, Manggatal, dan Kolombong akan menjadi tumpuan seterusnya menerusi Operasi Iklan 2.0.
Orang awam dan peniaga disaran mendapatkan maklumat lanjut berhubung peraturan iklan melalui saluran rasmi DBKK bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.






