PENAMPANG, SABAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang dari rumah di Kampung Sugud, semalam, berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Avelyn Alesha Jude ditemui oleh penduduk kampung tersebut di kawasan hutan berdekatan pada jam 11.20 malam.
Mengikut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba, ibu mangsa menyedari anaknya hilang dari rumah pada jam 4 petang hari yang sama.
Sepasukan tujuh anggota bomba daerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.44 petang.
“Seterusnya operasi mencari dan menyelamat mangsa di kawasan kampung tersebut dijalankan.
“Mangsa tidak dijumpai dan operasi ditangguhkan pada jam 9.10 malam dan akan disambung pada keesokkan hari,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Tidak lama kemudian, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Penampang menerima berita baik bahawa mangsa telah berjaya ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan yang selamat.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen 1 bagi menerima rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 11.35 malam,” tambahnya.






