SHAH ALAM, SELANGOR – Tragedi menyayat hati berlaku apabila satu kemalangan telah meragut SEPULUH (10) nyawa individu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini malam tadi.
Kemalangan malam tadi yang melibatkan EMPAT (4) buah kenderaan telah menyebabkan SEMBILAN (9) daripada mangsa merupakan sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu dan LAPAN (8) orang anaknya.
Dalam kejadian 11.45 malam itu, mangsa yang seorang ibu bernama Norul Naziah Buyong, 37, maut bersama LAPAN (8) orang anaknya iaitu Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3 dan Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, selepas Proton Wira dinaiki keluarga itu terperosok di bawah sebuah treler.
Turut maut ialah seorang pemuda, Muhamad Rahimi Rolex, 27.
Suami Norul Naziah, Abd Razak Majit, 50, terselamat dan tiga lagi mangsa lain hanya mengalami kecederaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis yang mengesahkan tragedi berkenaan berkata, nahas melibatkan dua buah kereta jenis Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.
“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.42 malam dan seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian didapati nahas membabitkan 17 mangsa, yang mana 10 daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita, manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga 10 mangsa yang terkorban dalam kemalangan berkenaan.
Menerusi catatan di akaun Facebook hari ini, beliau berkata perkhabaran itu diterima dengan rasa sedih dan pilu.

“Takziah kepada ahli keluarga mangsa dan saya doakan mereka tabah menghadapi kehilangan ini…
“Saya doakan roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh golongan beriman dan beramal soleh,” katanya.