UMNO Sabah Ikut Kepimpinan Pusat, Tidak Akan Bekerjasama Dengan PN Hadapi PRU-15

UMNO Sabah Ikut Kepimpinan Pusat, Tidak Akan Bekerjasama Dengan PN Hadapi PRU-15

0
SHARE
Bung berucap semasa sidang media persidangan UMNO Bahagian Kinabatangan hari ini...

KINABATANGAN, SABAH – UMNO Sabah akan mengikuti langkah kepimpinan pusat untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, perjanjian kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah itu dibuat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020 sahaja.

“Kalau mereka (pusat) sudah putus, kita ikut. Untuk pilihan raya parlimen kami mengikut autonomi UMNO pusat…

“Itu perjanjian kita. Sebab yang mau jadi perdana menteri bukan kami,” katanya pada persidangan UMNO Bahagian Kinabatangan di sini hari ini.

Apabila ditanya jika UMNO Sabah akan meletakkan 25 calon bagi kesemua parlimen di Sabah, Bung berkata jawapan itu turut bergantung kepada pemerintahan pusat.

Menurutnya, tinjauan akan dilaksakan UMNO Sabah pada awal bulan hadapan di semua kawasan parlimen Sabah agar pimpinan pada semua peringkat berpuas hati dengan calon yang mungkin diketengahkan.

“Dalam UMNO kita tidak boleh ada pertelagahan ketara antara pemimpin dan jika sekiranya ada, sudah tentu ia akan melemahkan parti dan semangat perjuangan di peringkat akar umbi…

“Parti ini ada sistem ‘juara’ dimana jawatankuasa peringkat pilihan raya yang akan menentukan calon,” tambahnya.

Bung berkata bertanding dalam mana-mana pilihan raya memerlukan asas yang beliau samakan dengan budaya perniagaan.

Menjawab soal pengundi 18 tahun, beliau berkata UMNO sudah menyiapkan strategi pendekatan.

“Kita kena ingat, mereka ini tingkatan 5, masih berada di sekolah dan akan berhadapan dengan peperiksaan. Mereka tidak boleh diganggu tetapi memang ada strategi,” katanya sambil menambah UMNO Sabah telah mula mengerahkan cawangan jalinanan rakyat untuk mengenal pasti pengundi.

Dalam pada itu, beliau yakin UMNO Sabah mampu menjadi pemangkin pada PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa saja lagi.

Katanya, parti tersebut ingin menerajui kepimpinan dengan menggerakkan jentera menggunakan strategi baru yang lebih berkesan dan mampu meyakinankan hati rakyat.

“Kita pernah jadi pemerintah dan pembangkang jadi kita sudah tahu apa yang boleh dan tidak diterapkan kepada rakyat untuk terus memperkasakan perjuangan,” ujarnya.