KOTA KINABALU, SABAH – Penghakiman muktamad Mahkamah Agung Belanda yang menolak rayuan yang difailkan pihak menuntut Sulu adalah berita yang sangat baik untuk Sabah dan Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Mahkamah Agung telah membuat keputusan yang memihak kepada Malaysia justeru menamatkan tuntutan yang tidak pernah diakui Sabah sejak awal lagi,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa kedaulatan Sabah di Malaysia tidak perlu diragui dan dicabar oleh sesiapa pun.
Ketua Menteri menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa keputusan Mahkamah Agung Belanda telah menutup bab percubaan pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah terhadap Malaysia.