Kenaikan Kos Haji Wajar Bagi Kelangsungan TH – MACMA

Kenaikan Kos Haji Wajar Bagi Kelangsungan TH – MACMA

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUCHING, SARAWAK – Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Sarawak Mohammad Tony Ong Abdullah berpendapat bahawa peningkatan kadar bayaran menunaikan haji dilihat wajar bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau yang dipetik Bernama berkata, orang ramai faham bahawa peningkatan itu tidak dapat dielak kerana mengambil kira peningkatan pelbagai kos serta faktor inflasi di Arab Saudi.

Dalam hal ini, beliau memuji TH selaku institusi bertanggungjawab mengurus serta menyediakan perkhidmatan haji secara komprehensif dan sistematik untuk jemaah haji Malaysia, dilihat masih mampu dan berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah walaupun sudah sekian lama tidak menaikkan kadar bayaran itu.

“Perkhidmatan disediakan TH amat baik, antaranya penyediaan makanan dan minuman bagi setiap jemaah serta jarak dari hotel ke Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dalam 1 kilometer ke bawah…

“Kita tidak mahu TH terjejas. Kita mahu TH ada kelangsungan juga kelestarian supaya institusi ini terus mampu menghantar jemaah haji setiap tahun,” katanya kepada Bernama malam tadi.

TH semalam (22 Apr) mengumumkan dua kadar bayaran untuk menunaikan haji kepada jemaah muassasah mengikut golongan B40 dan bukan B40 susulan anggaran kos keseluruhan meningkat kepada RM25,540 seorang tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata menerusi pelaksanaan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, jemaah muassasah dalam kalangan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang manakala golongan bukan B40, RM12,980 seorang.

Sementara itu Mohammad Tony berkata pengenalan kadar bayaran berbeza buat golongan B40 juga merupakan langkah baik mengambil kira pendapatan bakal jemaah.

“Pemberian subsidi secara bersasar dengan keutamaan pada golongan B40 adalah pendekatan terbaik agar bayaran haji tidak terlalu membebankan golongan kurang berkemampuan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu,” katanya.