Kerajaan Bantu Ringankan Beban Rakyat

Kerajaan Bantu Ringankan Beban Rakyat

0
SHARE
Christina
Christina (dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah kepada Joniston (dua dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan komited untuk terus membantu meringankan beban rakyat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, usaha kerajaan untuk membantu rakyat adalah berterusan dan tidak terhad pada musim perayaan sahaja.

“Kerajaan sedar rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Namun, kerajaan juga komited untuk terus membantu meringankan beban rakyat melalui pelbagai kaedah dan bukan hanya pada musim perayaan tetapi berterusan untuk jangka masa panjang.

“Saya juga akan menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan di enam buah kampung sekitar kawasan saya iaitu Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan KEPKAS Tahun 2024 di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Christina memaklumkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) menjangkakan kehadiran pelancong ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya di negeri ini.

“Pada Februari lepas, kehadiran pelancong ke Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 amat menggalakkan dan kita juga mengharapkan kehadiran mereka pada sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

“Untuk tujuan itu, Lembaga Pelancongan Sabah kini sedang berusaha memastikan kemasukan pelancong bukan sahaja untuk hadir ke sambutan ini tetap juga melancong di negeri Sabah sepanjang tahun,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, selain menyampaikan sumbangan kepada 17 kakitangan KEPKAS dan enam jabatan serta agensi dibawahnya, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap KEPKAS, Josie Lai. — JABATAN PENERANGAN SABAH