Kerajaan Digesa Halalkan Penanaman Ganja Dan Ketum – Zahidi

Kerajaan Digesa Halalkan Penanaman Ganja Dan Ketum – Zahidi

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin menggesa kerajaan untuk menghalalkan penanaman ganja dan ketum ekoran langkah progresif Thailand yang mengeluarkan dua tumbuhan itu dari senarai dadah berbahaya negara.

Beliau berkata tumbuhan terbabit mendapat permintaan tinggi seluruh dunia. Petani negara yang menyedari ini turut menuntut perkara yang sama.

Daun ketum sudah lama diguna pakai sebagai ubat tradisional di Thailand dan juga Malaysia namun Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kesihatan tentang penggunaannya yang boleh mengakibatkan ketagihan.

Portal berita Free Malaysia Today melaporkan Jurucakap Kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri pada minggu lalu berkata orang awam Thailand boleh menggunakan dan menjual kratom (ketum) secara halal.

“Lebih 1,000 orang banduan yang disabit kesalahan berkenaan tumbuhan itu juga bakal dibebaskan,” katanya.

Manakala, rami (hemp) adalah spesis sama dengan ganja (cannabis) tetapi mempunyai tahap rendah tetrahydrocannabinol (THC) iaitu bahan yang mengkhayalkan.

Zahidi berkata hemp mempunyai ciri-ciri sama seperti kenaf yang juga satu varieti ganja, tetapi juga bukan yang diguna untuk kesan khayal.

Zahidi Zainul Abidin…

“Rami mampu diguna untuk menghasilkan perabot dan juga digunakan di negara barat untuk merawat penyakit barah…

“Permintaan dunia untuk rami adalah tinggi dan membawa keuntungan yang tinggi,” Harian Metro turut melaporkan dia berkata selepas satu majlis di Kedah.

Namun katanya perkara tersebut perlu dikaji teliti terlebih dahulu bagi menentukan jika Malaysia bersedia mengikut langkah jana keuntungan negara Thailand.

Pada 2018 semasa Zahidi mempengerusikan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah mencadangkan setiap keluarga Malaysia dibenarkan untuk menanam lima pokok ketum bagi membantu menyara hidup.

Sementara itu, Institut Pengajian Pembangunan Sabah (IDS) mendapati industri rami kini meningkat di seluruh dunia.

“Harga pasarannya dijangka akan meningkat menjadi USD 26.6 bilion pada tahun 2025 dari USD 4,6 bilion pada tahun 2020…

“Reputasi dan prospeknya juga bertambah baik apabila manfaat kilang menjadi lebih terkenal.

”Lebih banyak kerajaan, syarikat dan masyarakat juga menyedari bahawa rami berbeza dengan ganja.

“Penggunaan rami terbesar adalah minyak CBD yang digunakan sebagai makanan tambahan dan juga produk penjagaan diri seperti krim muka berasaskan rami, minyak wajah, tonik rambut.

“Negeri Sabah, Malaysia, dengan tanahnya yang subur, sebuah kerajaan yang pragmatik dan berpikiran terbuka, akan menjadikannya tempat yang sesuai untuk penubuhan penyelidikan dan pengembangan penanaman rami pertama di negara ini,” katanya.

Untuk rekod, daerah Sandakan di Sabah pernah menjadi penghasil rami ‘manila’ untuk dijadikan tali sauh dan kertas pada tahun 1893 dengan pembangunan kilang oleh penjajah Jepun pada waktu itu.