KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri membenarkan individu warganegara dan bukan warganegara Malaysia memasuki negeri ini bagi tujuan lawatan sosial bermula hari ini (1 Nov).
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan itu selari dengan pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor sebelum ini yang menyatakan kebenaran terbabit.
“Beberapa ketetapan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi individu yang memasuki Sabah sudah diperincikan…
“Syarat utama yang harus dipatuhi individu dari Semenanjung Malaysia, Sarawak atau Labuan ialah mereka haruslah menerima pelalian lengkap dengan keputusan negatif ujian saringan COVID-19, tiga hari sebelum perjalanan.
“Selain itu, bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun, mereka seharunya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala bagi kanak-kanak bawah 12 tahun harus ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin,” kata Masidi.
Tambah Masidi, antara sub-kategori individu bukan warganegara yang dibenarkan memasuki negeri ini adalah isteri atau suami kepada rakyat Sabah dan tanggungan, pemastautin tetap Sabah, pemegang pas kerja dalam perkhidmatan penting dan tanggungan, pemegang pas sementara MyKAS Sabah dan IMM13, pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (MM2H) serta pelajar IPTA dan IPTS.
Sub-kategori terbabit dikehendaki menunjukkan dokumen berkaitan bagi memasuki Sabah.
“Bagi sub-kategori lawatan pelabur atas jemputan kerajaan negeri (domestik dan antarabangsa), mereka dikehendaki mempunyai surat jemputan kerajaan negeri, memiliki pas imigresen yang sah tempoh dan rombongan hendaklah tidak melebihi 10 orang dalam satu kumpulan…
“Mereka juga dikehendaki memperoleh kebenaran khas memasuki Sabah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19).
“Bagi subkategori yang tidak dibenarkan memasuki Sabah, mereka hendaklah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri Sabah melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan kelulusan khas,” katanya.