Anggota Polis Bertugas Di PRN Melaka Dan Sarawak Akan Diberi Keutamaan Terima...

Anggota Polis Bertugas Di PRN Melaka Dan Sarawak Akan Diberi Keutamaan Terima Dos penggalak

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA BHARU, KELANTAN – Lebih 10,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak akan diberi keutamaan sebagai penerima dos penggalak vaksinasi COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata walaupun belum ada sebarang arahan mengenainya, namun PDRM telah membuat permohonan bagi mendapatkan dos ketiga itu.

“Kita sebenarnya telah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 26 Okt lepas untuk mendapatkan suntikan vaksinasi ketiga itu. Bagi dos penggalak ini kita akan tumpukan kepada pegawai dan anggota di kontinjen yang bakal bertugas di PRN terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyerahan 23 kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux GS Cargo dan 11 buah Van Go Auto Higer di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Timbalannya, Datuk Muhammad Zaki Harun, Pengarah Eksekutif GO Auto Group Datuk SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin dan Ketua Penolong Pengarah Pengangkutan Jabatan Logistik Bukit Aman SAC Adnan Ahmad.

“Selain pegawai dan anggota di dua negeri itu, kita juga turut menekankan (pemberian dos penggalak) kepada pegawai dan anggota di Ibu pejabat Polis Bukit Aman yang tidak terkecuali disebabkan pelbagai tugasan yang akan dilaksanakan mereka,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada majlis hari ini Mazlan berkata 640 kenderaan pacuan empat roda dan van jenis sama bernilai RM108 juta turut diserahkan kepada kontinjen-kontinjen lain di seluruh negara.

Menurutnya kenderaan itu yang dilengkapi beberapa kelengkapan termasuk dua unit bracket senjata, perakam digital dan beg peralatan adalah untuk pelbagai kegunaan termasuk penugasan sekatan jalan raya, Light Strike Force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang dan aset untuk mencegah perhimpunan.

“Kenderaan ini adalah sebagai pemudah cara kepada anggota polis dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada PDRM,” katanya.

– BERNAMA