KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, Abdul Aziz Taip, mendesak kerajaan negeri agar lebih proaktif dalam isu pemotongan bekalan elektrik di Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI), Sipitang.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah membuat pemotongan bekalan elektrik ke atas premis SFI pada Selasa (semalam) disebabkan tunggakan bil elektrik selama dua tahun berjumlah RM700,000 yang belum dilunaskan.
Pemotongan itu menjejaskan bekalan elektrik dan air 640 buah rumah dan hampir 2000 orang pekerja serta ahli keluarga.
“Rakyat tempatan Sabah tidak sepatutnya dibiarkan hidup seperti pelarian di tanah air sendiri,” kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
“Tindakan SESB ini menyebabkan seluruh premis termasuk rumah kediaman, lot kedai, sekolah, masjid dan sistem bekalan air tidak lagi mendapat bekalan elektrik.
“Ini juga telah menyebabkan para penduduk terpaksa bergelap, tanpa bekalan air dan menjalani kehidupan seharian dalam keadaan terganggu,” tambahnya.
Katanya, Ketua Menteri Sabah dan kerajaan GRS-BN sepatutnya bersifat kemanusiaan terhadap para penduduk dan pekerja SFI yang selama ini telah menyumbang khidmat bakti dalam kemajuan SFI.
Beliau yang juga merupakan Ketua Warisan Bahagian Sipitang menegaskan bahawa mereka yang terjejas merupakan anak Sabah dan rakyat tempatan yang seharusnya diberikan pembelaan sewajarnya.
“Ke mana nilai peruntukan sebanyak RM130 juta yang didakwa telah dihulurkan kepada pekerja SFI dan ahli keluarga yang terjejas seperti mana dinyatakan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 28 November yang lalu?
“Apakah jenis bantuan yang telah dihulurkan kepada para pekerja dan ahli keluarga dan bilakah akan bantuan tersebut telah diagihkan dan diberikan?
“Siapakah agensi atau jabatan atau entiti yang menguruskan peruntukan bantuan tersebut dan apakah status terkini tindakan kerajaan,” tanya beliau.





