Kerajaan Negeri Sokong Pembugaran Peranan USIA

Kerajaan Negeri Sokong Pembugaran Peranan USIA

0
SHARE
Arifin
Arifin pada majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menyokong penuh pembugaran semula peranan Pertubuhan Islam seluruh Sabah (USIA) menyantuni masyarakat.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ariffin Mohd Arif berkata penglibatan USIA dalam penganjuran aktiviti kemasyarakatan sangat menonjol dan terus berkembang.

“Pembaikan dan pemuliharaan bangunan ibu pejabat USIA yang mencecah 52 tahun merupakan tanda pengiktirafan dan sokongan kerajaan negeri bagi menghargai peningkatan imej dan sum’ah USIA yang tinggi.

“USIA mampu membugar semula fungsi dan peranannya dalam mengaktifkan kembali aktiviti menyantuni golongan asnaf dan mualaf seperti ziarah, sentuhan kasih serta program berteraskan semangat kekeluargaan sebagai usaha merapatkan ukhuwah silaturahim dalam kalangan ahli juga masyarakat.

“Penglibatan USIA dalam penganjuran aktiviti dakwah Islamiah, pendidikan modal insan, kebajikan dan kemasyarakatan samada di peringkat bahagian mahupun peringkat negeri sangat menonjol serta berkembang dari masa ke semasa.

“Sejarah telah membuktikan bahawa USIA merupakan agensi yang mengurus dan mentadbir Hal Ehwal Islam di negeri ini sebelum Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) ditubuhkan pada tahun 1971,” ujarnya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Projek Membaikpulih Bangunan USIA di Sembulan pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan, USIA berperanan dalam membangunkan Pusat Latihan Dakwah (PLD) Al-Bukhary Kota Marudu yang sebelum ini terbengakalai bagi dalam usaha melengkapkan ilmu kepada golongan belia.

“Bangunan Pusat Latihan Dakwah (PLD) Al-Bukhary Kota Marudu yang sekian lama terbengkalai telah USIA bangunkan dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) yang bakal menjadi pusat tahfiz TVET untuk anak-anak Sabah.

“USIA perlu menggunakan kepakaran yang ada agar dapat menarik golongan belia memandangkan mereka merupakan pelapis pemimpin masa hadapan yang perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran teknikal, terutama ilmu agama bagi meneruskan dakwah dan tarbiyyah” katanya.

Turut hadir, Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Jumain Abdul Ghani. — JABATAN PENERANGAN SABAH