KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kepentingan negara dan rakyat.
“Sebagai Ketua Menteri, saya sedia mendengar cadangan. Saya terbuka dari segi pengurusan saya kepada negeri. Yang penting kita jalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat…
“NGO seharusnya bebas menyuarakan pendapat mereka tentang perkara-perkara yang berfaedah kepada negeri dan rakyat,” katanya ketika bertemu dengan lembaga pemegang amanah Badan Bertindak Memperjuangkan Hak Sabah (SABAR) diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Johan Ariffin Abdul Samad di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada SABAR kerana menawarkan untuk membantu beliau dan Kerajaan Negeri dalam perkara mengenai alam sekitar, pelancongan, kesihatan dan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri telah membuat kemajuan dalam perkara berkaitan MA63, antaranya meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021, hak minyak dan gas serta kuasa untuk mengeluarkan lesen memancing dan beberapa lagi.
“Dalam konteks MA63, kita telah mencapai kemajuan yang baik,” kata Hajiji.
Dalam taklimatnya kepada Ketua Menteri, Dr Johan berkata SABAR, yang ditubuhkan pada April 2021 telah menerima keahlian seramai 100 orang terdiri daripada anggota kanan masyarakat termasuk bekas penjawat kanan kerajaan.
Beliau berkata SABAR adalah kumpulan bukan politik yang prihatin dengan hak dan hal Sabah berkaitan MA63 dan berharap untuk menyumbang idea dan sumber kepada Kerajaan Negeri.