
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM23 juta bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah bukan kerajaan termasuk Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Cina di Sabah pada tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada angka itu, sejumlah RM4,035,000 bantuan kewangan diberikan kepada sembilan buah SMP, termasuklah Sekolah Menengah (SM) Kian Kok yang menerima bantuan RM565,000.
Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai insentif untuk membantu beban kewangan pelajar Sabah seperti Biasiswa Pelajar Cemerlang Sabah, Biasiswa Pelajar Luar Bandar Cemerlang, biasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta dermasiswa melalui Yayasan Sabah.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah dan insentif-insentif untuk membantu pelajar Sabah pada tahun ini.
“Dengan bantuan dan sokongan kewangan yang berterusan itu, menunjukkan pengiktirafan dan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pendidikan negeri ini, serta memberikan keyakinan kepada sekolah-sekolah untuk terus menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak kita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 Sekolah Menengah (SM) Kian Kok di Port View Palace Hall di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew.
Hajiji berkata, pendidikan SMP Cina di Sabah dengan ciri-ciri perpaduan dan kepelbagaian, telah menjadi aliran yang segar dalam sistem pendidikan Malaysia.
“Ia tidak hanya melahirkan bakat-bakat yang cemerlang dalam akademik, juga memainkan peranan yang positif dalam mempromosikan pembangunan negara dan masyarakat. Kita yakin SMP Cina di Sabah akan terus memberi sumbangan yang lebih besar kepada bidang pendidikan di Malaysia,” katanya
Beliau berkata, SMP Cina di Sabah menunjukkan keunikan dalam pelbagai aspek berbanding dengan pendidikan SMP Cina di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya lagi, SMP Cina di Sabah mengamalkan konsep pendidikan dua aliran, yang tidak hanya menumpukan kepada kurikulum Kementerian Pendidikan untuk menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malahan juga menggalakkan pelajar mengikuti peperiksaan Senior Unified Examination Certificate (SUEC).
Katanya, konsep itu membolehkan pelajar lebih mudah menghadapi dan menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia pada masa akan datang, selain untuk membina landasan yang kukuh untuk kerjaya mereka.