KOTA KINABALU, SABAH – Kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 merupakan satu kenyataan yang besifat retorik bagi meraih sokongan rakyat Sabah kepada BN.
Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS), Shahrun Nidzam Sharoom berkata kenyataan tersebut jelas menunjukkan ketidak sabaran BN untuk terus kekal berkuasa dan mahu menunjukkan sifat “abang besar” dalam kesemua gabungan dan kerjasama politik yang mereka sertai.
“Perbincangan berkenaan persefahaman tersebut masih lagi berjalan dan sehingga ke hari ini masih belum ada kata putus yang dicapai secara rasmi. Pengerusi GRS juga belum membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara itu…
“GRS telah menyatakan bahawa kerjasama yang mahu dibentuk bersama BN adalah atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di Semenanjung.
“Namun, kenyataan separa masak Pengerusi BN itu menimbulkan ketidaksenangan dikalangan penyokong-penyokong GRS dan PBS khususnya.
“BN dilihat cuba mempengaruhi GRS dalam menentukan calon-calon yang bertanding. Perebutan kerusi juga agak hangat pada ketika ini…
“Adalah sesuatu yang sukar untuk mencapai persetujuan dalam jangka masa yang begitu singkat. Bukan mudah untuk membahagikan kerusi yang secara tradisinya ditandingi oleh PBS dan partiparti lokal Iain dalam gabungan GRS terutamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrun berkata, dalam masa yang sama, Warisan acap kali menyatakaan kesediaan bekerjasama dengan PBS dan memberi mandat kepada PBS untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi.
Katanya pelawaan Warisan itu dilihat lebih memberi penghormatan kepada PBS sebagai parti tempatan yang terbesar dan tertua di Sabah.
“Ini bukan kali pertama Warisan menawarkan diri untuk bekerjasama dengan PBS malah Presiden Warisan sendiri secara terbuka menyatakan kesediaan mereka dan memberi ruang untuk PBS mempengerusikan kerjasama tersebut…
“Kerjasama dengan Warisan boleh dipertimbangkan jika ia memberi kelebihan dan impak dalam usaha PBS untuk terus melindungi dan menuntut hakhak dan kepentingan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan perjuangan asas PBS melalui perjanjian MA63.
“Sehingga ke hari ini PBS tidak pernah lari dari perjuangan asal dan sentiasa membuka ruang kerjasama dari manamana pihak yang memperjuangkan matlamat yang sama tidak seperti parti-parti lain yang menggunakan MA63 sebagai retorik apabila diambang pilihan raya,” katanya.