Kertas Siasatan Laporan Rombakan Pegawai Tertinggi PDRM Siap Minggu Ini

Kertas Siasatan Laporan Rombakan Pegawai Tertinggi PDRM Siap Minggu Ini

0
SHARE
Rusdi
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ( Sumber Foto: BERNAMA )

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung laporan portal berkaitan rombakan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) minggu ini.

Memetik sumber Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu.

“Setakat ini seramai empat individu sudah dipanggil termasuk tiga wartawan portal terbabit.

“Jadi kertas siasatan akan diserah kepada AGC dalam minggu ini,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahul, dilaporkan tiga wartawan sebuah portal berita dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 9 Ogos lalu untuk dirakam keterangan berhubung laporan mendakwa rombakan besar-besaran pegawai tertinggi PDRM.

Antara nama-nama besar yang dipetik laporan itu termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan itu dan menyifatkan spekulasi mengenai rombakan itu sebagai ‘tidak benar’ kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Bukit Aman.

Peguam yang mewakili ketiga-tiga wartawan berkenaan Rajsurian Pillai berkata, sebanyak 27 soalan diajukan kepada setiap seorang daripada mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.