TUARAN: Exco Pemuda Pakatan Harapan (PH) Tuaran menegaskan bahawa keselamatan pelajar perlu menjadi keutamaan mutlak dan semua sekolah mesti kekal neutral daripada sebarang pengaruh politik.
Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini yang berkata “Jangan ganggu guru kami” berhubung kes melibatkan pelajar, termasuk kes yang mendapat perhatian umum seperti tragedi menimpa arwah adik Zara Qairina Mahathir di Papar.
Menurut kenyataan bersama itu, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menempatkan sementara kakitangan sekolah terlibat ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah adalah tindakan interim yang tepat, namun perlu disusuli pembaharuan menyeluruh agar tragedi sebegini tidak berulang.
“Kami menegaskan bahawa keselamatan pelajar adalah keutamaan mutlak dan sekolah wajib kekal neutral secara politik agar fokus pendidikan tidak terganggu,” kata kenyataan tersebut.
Pemuda PH Tuaran turut menggariskan lima langkah strategik bagi memastikan keselamatan pelajar dilindungi secara menyeluruh, termasuk penghapusan budaya membuli; penambahbaikan fasiliti sekolah;
Seterusnya, pengukuhan organisasi keselamatan melalui penempatan warden atau pengawal terlatih bukan daripada kalangan guru; pemantapan sistem aduan dan dasar perlindungan pelajar yang telus; serta penerapan program kemanusiaan untuk membina budaya saling hormat di komuniti sekolah.
Mereka turut menyeru agar cadangan ini dipertimbangkan oleh kerajaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang inklusif bagi memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat, adil dan kondusif untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
Kenyataan media itu disahkan oleh Penolong Setiausaha Pemuda AMANAH Sabah, Esham Tarmizi; Ketua Angkatan Muda Keadilan Tuaran merangkap Pengarah Komunikasi AMK Sabah, Arief Hambali J Indan; dan Ketua Pemuda UPKO Tuaran merangkap Exco Pemuda UPKO Malaysia, Rayner Ebi.






