KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Dalam pertemuan tersebut, Hajiji merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Edgard atas khidmat bakti beliau sepanjang tempoh bertugas di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak serta membantu mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada TYT Edgard atas sumbangan dan kerjasama yang terjalin sepanjang berkhidmat di Malaysia, termasuk sokongan dalam mempromosikan keunikan dan potensi Sabah kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Edgard turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan semula beliau sebagai Ketua Menteri Sabah, sambil menyifatkan kepimpinan Hajiji sebagai penting dalam meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kestabilan negeri.






