GENEVA, SWITZERLAND – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, sedang menjalani kuarantin kendiri selepas kontak beliau disahkan positif COVID-19.
Beliau memaklumkan perkara itu, semalam, namun menjelaskan bahawa dirinya tidak mengalami gejala, setakat ini.
“Saya dikenal pasti sebagai kontak kepada seseorang yang disahkan positif COVID-19…
“Saya sihat dan tidak mengalami gejala, namun akan menjalani kuarantin kendiri selama beberapa hari sejajar dengan protokol WHO, serta bekerja dari rumah,” katanya melalui Twitter.
Memetik laporan AFP, sejak COVID-19 tercetus di China pada akhir tahun lalu, Tedros menerajui usaha agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu untuk memerangi pandemik berkenaan yang sudah meragut hampir 1.2 juta nyawa dan menjangkiti lebih 46 juta orang di seluruh dunia.
Dalam ciapannya itu, beliau turut menegaskan bahawa amat penting untuk semua pihak mematuhi panduan kesihatan.
“Inilah cara untuk kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, menyekat virus itu dan melindungi sistem kesihatan,” katanya.