KM HAJIJI AJAK RAKYAT TERUS PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME, KEKAL PERPADUAN, JAGA KEHARMONIAN

KM HAJIJI AJAK RAKYAT TERUS PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME, KEKAL PERPADUAN, JAGA KEHARMONIAN

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum dan berbilang budaya agar terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan dan menjaga keharmonian sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan adalah milik bersama, justeru rakyat perlu berdiri teguh dan jangan terpengaruh dengan sebarang perkara negatif yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan, sehingga membawa kepada perpecahan.

“Seluruh lapisan rakyat juga seharusnya memperingati dan menghargai jasa serta pengorbanan pahlawan dan pejuang negara, yang mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta”, katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2023.

Hajiji berkata, seiring dengan objektif Malaysia Madani di bawah Kerajaan Perpaduan, agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerima baik segala langkah, tindakan dan perancangan yang boleh membina semula kekuatan negara ini, terutama dari segi kemajuan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita sama-sama menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini,
iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”. Selamat Menyambut Hari
Kebangsaan 2023,” katanya.