KM HAJIJI UMUMKAN KETUAI PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH

KM HAJIJI UMUMKAN KETUAI PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan akan mengetuai sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini, dan telah diterima oleh GRS sebagai parti gabungan pada 9 Disember lalu.

“Insya-Allah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Rakyat demi pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan
kedudukan saya sebagai ketua menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai
sebuah parti iaitu Gagasan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikia selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata Gagasan Rakyat adalah parti sedia ada yang kini diambil alih dan diketuainya.

GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu
(USNO).

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji turut menyatakan rasa hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbirannya.

“Saya hairan kenapa sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, saya yakin kita boleh mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya.