Putera ‘Tidur’ Arab Saudi Meninggal Dunia Selepas Hampir Dua Dekad Koma

Putera ‘Tidur’ Arab Saudi Meninggal Dunia Selepas Hampir Dua Dekad Koma

0
SHARE

RIYADH: Putera Alwaleed bin Khalid Talal Abdulaziz Al Saud, yang dikenali sebagai “Putera Tidur”, meninggal dunia pada Sabtu (19 Julai) seperti diumumkan Mahkamah Diraja Arab Saudi menerusi Agensi Berita Saudi.

Solat jenazah akan diadakan hari ini selepas solat Asar di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh.

Putera Alwaleed telah berada dalam keadaan koma hampir 20 tahun akibat kecederaan otak serius yang dialami dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2005 ketika menuntut di kolej tentera di London. 

Pendarahan otak yang dialaminya menyebabkan beliau dirawat berterusan di Bandar Perubatan Raja Abdulaziz di Riyadh.

Walaupun doktor mengesyorkan agar alat sokongan hayat dihentikan, bapanya, Putera Khaled Talal, tetap berpegang teguh kepada harapan bahawa anaknya akan pulih.

“Jika Allah menghendakinya meninggal dunia dalam kemalangan itu, dia pasti sudah berada dalam kuburnya,” kata Khaled.

Sejak kemalangan itu, Putera Alwaleed kadang-kala menunjukkan gerakan kecil seperti mengangkat jari dan menggerakkan kepala, namun tidak pernah kembali sedar sepenuhnya.

Keadaan beliau mendapat simpati meluas di seluruh Arab Saudi dan dunia Islam, dengan berjuta-juta orang mengikuti perkembangan kisahnya selama bertahun-tahun.

Pemergian Putera Alwaleed menandakan berakhirnya satu bab penuh harapan dan kesetiaan, yang menyentuh hati ramai sepanjang tempoh lebih dua dekad.