Kolaborasi KBSS – YAKEB, Perkasa Kebajikan Bekas Atlet Sabah

Kolaborasi KBSS – YAKEB, Perkasa Kebajikan Bekas Atlet Sabah

0
SHARE
Justine
Ellron menyerahkan sumbangan kepada Justine sambil disaksikan oleh Ariffin (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan KBS Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kebajikan bekas atlet Sabah akan terus diperkasa lagi dengan adanya kolaborasi erat di antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.

“Kita akan terus berkerjasama erat dengan YAKEB bagi memastikan kebajikan bekas atlet kita akan terus terjaga” katanya ketika ditanya oleh rakan media selepas merasmikan Program YAKEB Turun Padang 3.0 Negeri Sabah bertempat di The Klagan Hotel, semalam.

Kerjasama erat itu diantara Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan YAKEB akan memastikan apa juga bentuk bantuan ataupun dana dapat disalurkan terus kepada bekas atlet Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai isu terdapat bekas atlet yang belum bersedia untuk bersara malah segelintir atlet sekarang ini yang tidak menghiraukan masa depan selepas bersara.

Susulan itu, beliau menggesa agar mereka  memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran supaya dapat dimanfaatkan dan dijadikan mata pencarian mereka kelak selepas bersara.

“Saya juga menyeru agar bekas-bekas atlet Sabah mendaftarkan diri dalam YAKEB, kerana pelbagai bentuk bantuan dan program yang disalurkan oleh yayasan ini amat bermanfaat terutamanya meningkatkan lagi kebajikan ahli-ahlinya,” katanya.

Mengambil kira peranan dan fungsi YAKEB adalah amat penting terutama sekali dalam memperjuangkan kebajikan bekas atlet negara, yayasan ini wajar disokong memandangkan bekas atlet telah mencurahkan pengorbanan besar dalam melonjakkan nama negara dalam arena sukan.

“Inilah fungsi YAKEB yang ramai tidak menyedari bahawa yayasan ini mempunyai usaha yang murni dalam membantu bekas atlet kebangsaan untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna sebaik sahaja bersara,” katanya.

Beliau turut menambah usaha YAKEB ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan kebajikan para atletnya iaitu memperkenalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Tetap (KWSP) seawal usia 14 tahun lagi.

Caruman sebanyak RM50 yang telah bermula pada awal tahun ini adalah sebagai satu usaha dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan atletnya.

Terdahulu dalam program itu, YAKEB menyumbangkan lima buah kerusi roda iaitu tiga buah kepada Hospital Queen Elizabeth 1 dan dua buah lagi kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Sabah.

Selain itu, pihak YAKEB turut memberikan sumbangan berbentuk tunai kepada dua individu yang juga bekas atlet Sabah iaitu Justine Sompong dan Haswadi Moliadi dimana masing-masing menerima tunai sebanyak RM500.

Kedua-dua sumbangan tersebut disampaikan oleh Ellron.