Kolej Profesional MARA Bakal Dibina Di Beaufort

Kolej Profesional MARA Bakal Dibina Di Beaufort

0
SHARE
Aminah
Aminah menerima cendera kenangan daripada MARA Sabah selepas mengadakan kunjungan terbabit ( Sumber Foto: Ihsan pejabat Ahli Parlimen Beaufort )

BEAUFORT, SABAH – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memperkasakan sektor pendidikan tingginya dengan pembinaan sebuah kampus baharu Kolej Profesional MARA (KPM) di daerah ini.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, projek itu kini diperingkat akhir pelaksanaan dan akan dimulakan tidak lama lagi.

Aminah berkata kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program pembinaan model insan bagi memperkukuhkan lagi sektor pendidikan dalam bidang kemahiran khususnya di luar bandar.

“MARA akan terus memperkasakan akses kepada pendidikan berkualiti dalam meningkatkan modal insan berkemahiran masa hadapan bermula daripada peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Sudah tentu masyarakat di daerah ini beruntung dimana sebuah KPM akan dibina di daerah ini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Pengarah MARA Sabah Dr Shahrizin Abdul Sarhadat di Ibu Pejabat MARA Sabah Kota Kinabalu baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA Sabah Yassin Ajun, Pegawai Latihan Negeri MARA Sabah Haslin Talip dan Ketua Program KPM Beaufort Zainon Abu Bakar.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar pelajar lepasan sekolah dan golongan belia memilih bidang kemahiran sebagai pilihan tambahan selain pengajian ke institut pengajian tinggi.

Menurutnya, mereka mempunyai masa depan cerah dalam bidang kemahiran memandangkan teknologi kemahiran yang ditimba mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

Katanya, pelajar lepasan di Institut Latihan Kemahiran saamada dari institut kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Giat Mara dan lain-lain kini menjadi buruan pelbagai syarikat dan pemain industri tempatan.

“Kita hargai apa yang kita ada…tapi institut kemahiran belia khususnya di Sabah boleh ditambah agar lebih ramai golongan belia mendapat peluang mencari pekerjaan atau membuka perniagaan mereka sendiri,” katanya.