Persatuan Menembak Sabah Uji Kemahiran, Wakil Jabatan Imigresen Muncul Juara

Persatuan Menembak Sabah Uji Kemahiran, Wakil Jabatan Imigresen Muncul Juara

0
SHARE
Ssa
Salah seorang peserta ujian melalui senario serbuan tempur jarak dekat (CQB = Close-Quarter Battle) pada stage 2 (Medium Course) dalam Ujian Kemahiran Menembak (UKM) SSA ( Sumber Foto: Ihsan SSA )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Menembak Sabah (SSA) telah menganjurkan Ujian Kemahiran Menembak (UKM) Siri 1/2024 bertempat di Lapang Sasar SSA, Lok Kawi, Jalan Penampang-Papar selama dua hari bermula Sabtu.

Menurut Pengarah Pertandingan, Jeson Yong, seramai 116 peserta terdiri daripada agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Tentera Laut Diraja Malaysia menyertai UKM kali ini.

“UKM ini turut disertai oleh pemilik lesen senjata api persendirian, syarikat kawalan keselamatan, pemegang lesen pemilikan dan penggendalian (Carry and Use) senjata api milik SSA dan juga agensi Polis Bantuan Sutera Harbour dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Ujian Kemahiran Menembak (UKM) Siri 1/2024 semalam.

Menurut Jeson yang juga penolong setiausaha Persatuan Menembak Sabah, UKM ini bertujuan untuk menguji kemahiran setiap peserta dalam pengendalian senjata api dalam keadaan selamat walaupun terpaksa menembak dalam perlbagai keadaan, halangan, dan kedudukan.

“Setiap peserta akan diuji dengan tiga Stage (Short – Medium – Long) dan peserta dikehendaki melepaskan tembakan pada sasaran yang ditetapkan dengan tepat dalam pergerakan pantas bagi mendapatkan markah yang terbaik dalam UKM ini,” tambahnya.

Dalam ujian ini, Calson Cassey Alipin, penembak mewakili Jabatan Imigresen Malaysia telah menjuarai UKM Siri 1/2024 diikuti oleh penembak SSA, Jeson Yong dan Clarence Wee yang mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia ditempat ketiga.

Acara “Shoot-off” atau jatuh piring turut diadakan bagi kategori lelaki dan wanita yang dimenangi oleh Jeson diikuti Calson dan penembak mewakili Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Alfie Shafizan Liew Osman Abdullah.

Manakala, bagi kategori wanita tempat pertama dan kedua dimenangi oleh peserta mewakili Polis Diraja Malaysia Intan Terpilih Gonterat dan Safwah Siman manakala penembak mewakili Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Dewifitriyani Jamain ditempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden SSA, Steven Yong.