Komuniti Madani Bantu Sebarkan Maklumat Sahih Kerajaan

Komuniti Madani Bantu Sebarkan Maklumat Sahih Kerajaan

0
SHARE
Kmjg
Hafiz (lima kiri) besama Jainisah (enam kiri) dan Syah (tujuh kiri) bergambar kenangan bersama penerima watikah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SEMPORNA, SABAH – Komuniti Madani Mampu membantu pihak kerajaan menyebarkan maklumat sahih kepada masyarakat umum.

Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew berkata, Jabatan Penerangan (JaPen) berhadapan dengan banyak kekangan menyalurkan maklumat maka sudah tiba masanya Komuniti Madani sebagai rakan strategik JaPen turut serta membantu sebarkan berita sahih kepada umum.

“Saya difahamkan bahawa Komuniti Madani adalah merupakan sebuah badan sukarela yang diurus tadbir oleh JaPen dengan tujuan penubuhannya sebagai jentera penggerak dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat setempat.

“Sememangnya kita sedia maklum, JaPen berhadapan dengan banyak kekangan dalam menyalurkan maklumat, namun saya menyeru semua pihak terutama para Komuniti Madani perlu turut serta dalam usaha murni ini dengan membantu pihak kerajaan menyebarkan maklumat sahih kepada umum.

“Kita faham, dalam era teknologi kini, pelbagai perkara boleh terjadi dalam sekelip mata, kerana kini semuanya ada di “Hujung Jari” sahaja, Namun, itu tidak menghalalkan kita untuk berkelakuan sewenang-wenangnya.

“Menjadi Keyboard Warior di media sosial, membuat pelbagai tohmahan dan spekulasi yang tidak berasas, dan melemparkan pelbagai fitnah berkaitan usaha kerajaan di media sosial adalah contoh masyarakat yang lemah bukan sahaja dari segi mentalnya tetapi juga jati dirinya.

“Justeru, inisiatif JaPen mengadakan program seumpama ini sangat bertepatan dengan objektif penganjuran majlis dan mampu membantu masyarakat di peringkat kampung serta golongan bersasar khususnya.

“Kita harus menjadi teladan yang baik kepada generasi muda, dengan adab, gunakanlah saluran yang betul apabila kita mempunyai sebarang kemusykilan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Pegawai Daerah, Hafizul Hafiz Ladja Hassan dalam program Jiwa Komuniti Peringkat Parlimen Semporna di Kampung Senang Hati di sini, pada Sabtu.

Turut dilaksanakkan, penyerahan watikah kepada sembilan Komuniti Madani dalam parlimen Semporna sebagai penganugerahan rasmi pembentukan komuniti tersebut.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, kekangan kekurangan kakitangan JaPen di daerah menyukarkan penyampaian sesuatu maklumat kepada masyarakat terbatas.

“Pihak JaPen mengharapkan Komuniti Madani dapat membantu untuk memperkasa penyampaian maklumat ke akar umbi sebab JaPen hanya ada satu di setiap daerah dan bilangan kakitangan yang tidak seramai ahli-ahli Komuniti Madani yang ada.

“Maka, kami bergantung harap kepada tuan-tuan dan puan-puan yang bersama-sama kita pada malam ini untuk sampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan dengan inisiatif kerajaan dan apa jua perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Bantu JaPen untuk sampaikan kepada komuniti masing-masing supaya sekiranya ada perkhidmatan ataupun ada bantuan atau insentif daripada kerajaan, akan dapat dinikmati oleh setiap ahli komuniti,” katanya.

Jainisah turut menyeru Komuniti Madani untuk membantu menepis berita palsu bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Hadir sama, Pegawai Penerangan Daerah, Mohd Syah Kisun, Pengerusi Pemuafakatan Komuniti Madani Daerah, Adam Tahing dan Ketua Komuniti Madani Kampung Senang Hati, Taasim Salasa. — JABATAN PENERANGAN SABAH