TAWAU, SABAH – Rakyat diseru untuk tidak menjadikan perbezaan kaum sebagai penghalang kemajuan negara.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perbezaan kaum yang ada di negeri ini sepatutnya dijadikan sebagai satu keistimewaan dan keunikan.
“Keistimewaan inilah sebenarnya menjadikan negeri Sabah sebuah negeri yang terkenal dengan amalan toleransi yang mencipta keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyatnya.
“Usaha-usaha penyatuan melalui program-program yang bermanfaat seperti mana yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) yang begitu aktif membawa semua rakyat yang berbilang kaum dan agama ini supaya sentiasa bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.
“Program seperti ini seberanya memberi kesedaran kepada kita sebagai rakyat Malaysia untuk sentiasa bersatu padu dan bekerjasama di dalam memastikan apa juga program dan agenda-agenda yang dibawa oleh kerajaan pada hari ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui media pada Program JIWA Komuniti MADANI di Kampung Batu Payung dekat sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut mengharapkan agar masyarakat terutama yang ada di Kampung Batu Payung agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan berita-berita palsu.
Katanya, berita-berita palsu dan fitnah ini hanya akan mendatangkan keburukan terutama pada negara dan negeri.
“Inilah pada saya inisiatif JaPen menubuhkan jawatankuasa Komuniti MADANI sebagai rakan strategik JaPen untuk menjadi mata dan telinga kepada kerajaan selain sebagai penyampai kepada berita-berita yang sahih.
“Usaha ini bertujuan agar rakyat di akar umbi ini tidak terpedaya dan sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, Pengarah JaPen Sabah selaku Ketua KMJG 2024 Jainisah Mohd Noor dan Pegawai Penerangan Daerah Tawau Azwary Abdul Aziz. — JABATAN PENERANGAN SABAH