KOPEKS Diserahkan Semula Kepada ALK Selepas Dua Tahun Di Bawah SKM

KOPEKS Diserahkan Semula Kepada ALK Selepas Dua Tahun Di Bawah SKM

0
SHARE
Mesyuarat Agung KOPEKS dirasmikan oleh Naib Pengerusi Eksekutif, Datuk Umar Sarim Haji Saidin (tengah). Turut hadir, Pengarah SKM Negeri Sabah, Matias Kundapin (kiri) dan Pentadbir KOPEKS, Datuk Kastian Haji Dula (kanan)...

KOTA KINABALU, SABAH – Pentadbiran Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) telah diserahkan semula kepada Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang baharu, selepas dua tahun enam bulan diletakkan di bawah pentadbiran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Penyerahan semula pentadbiran KOPEKS dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang dibuat secara dalam talian buat julung-julung kalinya berpusat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Sabtu (2 April).

MAT pada kali ini, yang dirasmikan oleh Datuk Umar Sarim Saidin, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, adalah bertujuan untuk menyerahkan semula koperasi kepada ALK yang baharu.

Barisan ALK baharu – (dari kiri) CEO KOPEKS Buvil Angkui, Haji Saat Ag. Damit, Haji Sulaiman  Awang, Setiausaha KOPEKS Abdul Ghafor Ag. Ya’acob, Pentadbir KOPEKS Datuk Kastian Haji Dula, Pengerusi KOPEKS Jaibit Jaudin, Penolong Pengarah Kanan SKM Wilayah Pantai Barat Selatan Datu Mohd. Rais Aslam Datu Jamigul, Bendahari KOPEKS Sairin Dula @ Sabdullah dan Mohd. Noor Juan…

Dalam ucapannya, Umar Sarim berkata, SKM mengharapkan ALK yang baharu dapat mengadaptasikan kaedah pengawalan perbelanjaan sepertimana yang dilaksanakan oleh Pentadbir.

Pada masa yang sama, katanya, koperasi hendaklah patuh kepada kehendak undang-undang sepanjang masa.

“ALK hendaklah sentiasa merujuk kepada Suruhanjaya untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pencerahan yang berkaitan dengan undang-undang sebelum melaksanakan sesuatu perkara yang lain daripada perkara-perkara rutin dan bijak mencari sumber pendapatan yang baharu.  

“Kebergantungan kepada satu sumber pendapatan tidak akan membantu untuk koperasi terus berkembang,” ujarnya…

Pentadbir Kopeks, Datuk Kastian Haji Dula turut memaklumkan seramai 1,453 orang anggota menghadiri MAT tersebut secara dalam talian.

Secara keseluruhan, mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar dan mencukupi korum serta mematuhi Garis Panduan GP 14B, Garis Panduan Pengurusan Mesyuarat Agung Wilayah Atau Mesyuarat Agung Kawasan Koperasi Semasa Penularan Pandemik Covid-19.

Kastian turutt mengumumkan KOPEKS telah berjaya mencatatkan keuntungan berterusan iaitu sebanyak RM2.230 juta pada tahun 2021 dan RM2.397 juta pada tahun 2020 walaupun pendapatan koperasi sedikit berkurangan kerana beberapa faktor sepanjang pandemik Covid-19.

Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh tersebut perbelanjaan koperasi telah berjaya dikurangkan 30 peratus berbanding pada tahun 2019.

Sepanjang tempoh dua tahun enam bulan KOPEKS diletakkan di bawah pentadbiran SKM, pentadbir berjaya mengembalikan yuran dan saham anggota berjumlah RM13,033,921.84 setakat 31 Disember 2021.

“Jumlah ini termasuk yuran dan saham anggota berjumlah RM7,218,507.14 yang tertunggak dari tahun 2017 hingga 2019 ketika diambil alih oleh pentadbir pada 30 Oktober 2019.

“Pinjaman luar turut dapat dikurangkan sebanyak RM22,118,701.33,” katanya.

Kastian turut memaklumkan bahawa KOPEKS juga berjaya membuat kutipan non-performing finance (NPF) pinjaman berjumlah RM3juta melalui keazaman untuk mengutip tunggakan hutang dan meneruskan kes-kes mahkamah.

Kejayaan awal Pentadbir dan pihak pengurusan KOPEKS dalam masa yang singkat ini adalah kerana kejayaan mengawal dan berhemat dalam berbelanja dan berpegang teguh di atas prinsip melaksanakan tugas dan tanggungjawab ‘without fear or favour’, dan pada masa yang sama mematuhi kehendak undang-undang sepanjang masa dan melaksanakan tindakan melalui keputusan mesyuarat.

Kastian turut mengumumkan berita baik untuk anggota-anggota KOPEKS, iaitu pembahagian dividen bagi tahun kewangan 2021 diluluskan sebanyak 12 peratus iaitu satu (1) peratus atas yuran dan 11 peratus atas saham.

Sementara itu, semasa mesyuarat pertama ALK yang baharu yang diadakan sejurus selepas MAT selesai, Jaibit Jaudin telah dipilih sebagai Pengerusi KOPEKS baharu, manakala Abdul Ghafor Ag. Ya’acob sebagai Setiausaha KOPEKS dan Sairin Dula @ Sabdullah sebagai Bendahari dan tiga orang ALK baharu bagi tahun 2022/2023 dilantik selepas menang tanpa bertanding dalam MAT iaitu Mohd. Noor Juan, Haji Saat Ag. Damit dan Haji Sulaiman Awang.