KPM Ambil Maklum Cadangan Bina Asrama Sekolah Di Kiulu

KPM Ambil Maklum Cadangan Bina Asrama Sekolah Di Kiulu

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pembinaan asrama SMK Tun Fuad Stephens yang telah lama tertangguh di Kiulu, sini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin mengambil maklum perkara itu selepas membaca mengenai keluhan pelajar di media.

“Apabila saya membaca mengenai kelewatan memberi kelulusan pembinaan asrama yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, saya segera meminta KPM meneliti perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat SK Giok di Kampung Giok di sini pagi tadi. Lawatan beliau termasuk meninjau lokasi cadangan bangunan baharu SMK Nabalu iaitu bersebelahan sekolah rendah.

Turut hadir, Joniston, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistrine Radin.

Semasa lawatan itu, Joniston juga telah mengemukakan secara peribadi perkara itu dan bercakap dengan Pkharuddin dan Mistrine mengenainya.

ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai meluangkan masa untuk beramah mesra dengan murid SK Giok…(KREDIT FOTO: Edmund Samunting)

“Susulan perbincangan kami, mereka menyedari keperluan untuk asrama. Pelajar luar bandar akan mendapat manfaat yang besar daripada pembangunan ini kerana ia akan mengurangkan beban pelajar sekolah yang tinggal berjauhan…

“Apabila pembinaan itu siap, ia akan memberi manfaat kepada 80 pelajar, yang tidak lagi perlu menyewa bilik di rumah penduduk kampung berhampiran,” kata Joniston.

Susulan daripada isu yang dihadapi oleh pelajar, Joniston turut tampil membantu meringankan beban dengan membantu pembayaran sewa bilik pelajar.

Dalam artikel berita yang bertarikh 27 Jan, Joniston menggesa KPM meluluskan cadangan asrama SMK Tun Fuad Stephens yang telah lama tertangguh dengan segera.

Tahun lalu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu menghantar surat kepada Jabatan Pendidikan Sabah.

Surat itu juga telah dimajukan kepada KPM tanpa sebarang maklum balas.