Lembaga Pelancongan Sabah Latih Komuniti Luar Bandar Dengan Kemahiran Pemasaran Digital

Lembaga Pelancongan Sabah Latih Komuniti Luar Bandar Dengan Kemahiran Pemasaran Digital

0
SHARE
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai ketika berucap semasa majlis tersebut...

KUDAT, SABAH – Masyarakat luar bandar digesa melengkapkan diri dengan kemahiran pemasaran digital sebagai cara mempromosikan produk atau tarikan pelancongan mereka.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemasaran digital adalah penting untuk mempromosikan perniagaan dalam era teknologi terkini.

“Untuk perniagaan pelancongan, pemasaran internet adalah amat diperlukan bagi membolehkan pelanggan mengetahui dengan serta-merta tentang tawaran terkini, harga terbaik dan destinasi yang harus dilawati.

“Pemasaran digital menjadi satu keperluan untuk berdaya saing dalam pasaran pelancongan hari ini, dan pengusaha pelancongan desa harus melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat (IT),” katanya ketika meninjau latihan pemasaran digital untuk komuniti Kampung Tajau Laut di sini, pada Sabtu.

Joniston juga berharap agar kerajaan menyegerakan pemasangan menara telekomunikasi di kawasan strategik, khususnya di tempat yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan.

Seramai 20 orang menyertai bengkel latihan digital yang dikendalikan oleh Hello Sabah di bawah Sri Pelancongan Sabah, iaitu anak syarikat Lembaga Pelancongan Sabah.

Joniston berkata pihak lembaga telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan pemasaran digital dan menyediakan latihan asas untuk mendidik komuniti Kampung Tajau Laut tentang kepentingan media sosial dan cara menyesuaikan kerja serta kehidupan dalam dunia digital.

“Kampung Tajau Laut mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai pelancongan berasaskan komuniti. Kita memerlukan lebih banyak destinasi pelancongan luar bandar di negeri ini untuk memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

“Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa kita tidak lama lagi, masyarakat luar bandar harus bersedia untuk menerima pelawat. Justeru, media sosial memainkan peranan penting dalam memperkenalkan destinasi atau produk baharu kepada bakal pelawat,” tambahnya.

Penganjuran bengkel pemasaran digital tersebut bertujuan untuk memberi pengenalan dan pendedahan ilmu pengetahuan mengenai penggunaan sosial media dalam mempromosikan produk mereka, termasuk cara membuka akaun e-mel perniagaan dan akaun Instagram profesional.

Produk-produk yang hendak dipasarkan bukan hanya tertumpu kepada pelancongan tetapi juga berkaitan makanan dan kraf. Para peserta juga diajar cara menggunakan perkhidmatan e-booking di www.hellosabah.com iaitu platform khusus untuk memasarkan produk pelancongan luar bandar Sabah.