TAWAU: Lima individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang mencetuskan kekecohan di Bazar Ramadan Sabindo di sini, pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan selepas pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.
Menurutnya, polis turut membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan dan sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang telah dikenal pasti.
“Setakat ini lima tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek lain sedang dijalankan,” katanya, semalam.
Terdahulu, beberapa klip video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu saling menyerang antara satu sama lain di tengah laluan Bazar Ramadan Sabindo.
Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang berada di lokasi tersebut.






