TENOM: Penduduk di Kampung Sumambu, Kemabong yang terputus hubungan akibat kejadian tanah runtuh menerima bantuan bekalan makanan menerusi operasi kemanusiaan yang digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia.
Operasi yang dilaksanakan oleh 5 Divisyen Tentera Darat pada Khamis itu adalah sebahagian daripada Op Murni bagi membantu pihak berkuasa tempatan menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas.
Dalam operasi tersebut, bekalan makanan dihantar menggunakan pesawat helikopter AW139 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memastikan keperluan asas sampai kepada penduduk walaupun laluan darat terputus.
Antara barangan yang dihantar termasuk bakul makanan, beras dan air mineral yang disumbangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
Operasi penghantaran bantuan itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).






