26 Individu Diperiksa Dalam Ops GASAK Laut

26 Individu Diperiksa Dalam Ops GASAK Laut

0
SHARE
Esscom
Pemeriksaan dilakukan seorang anggota polis marin ( Sumber Foto: Ihsan ESSCOM )

TAWAU, SABAH – ESSCOM mengkoordinasikan Operasi GASAK Laut yang memfokuskan Pambot di sekitar perairan sepanjang Batu 3 sehingga Batu 5 pada Selasa.

Komander Eastern Command, DCP Victor Sanjos berkata ianya bagi membendung penyalahgunaan pambot yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESS Zone.

“Hasil operasi yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan tindakan seramai 96 orang pegawai dan anggota oleh Jabatan serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan Persekutuan dan negeri ini menyaksikan sebanyak 13 buah pambot telah diperiksa, melibatkan seramai 26 orang individu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima buah pambot dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala seramai empat orang PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

“Saya amat memandang serius berhubung perkara ini dan Operasi GASAK Laut (Pambot) yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Victor berkata kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya.