Program PANTAS Diperluas, Bantu Percepat Pengeluaran Geran Tanah Anak Negeri di Kadamaian

Program PANTAS Diperluas, Bantu Percepat Pengeluaran Geran Tanah Anak Negeri di Kadamaian

0
SHARE

KOTA BELUD: Program Penyukatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) terus diperluas bagi mempercepatkan proses pengukuran dan pengeluaran geran tanah Anak Negeri di kawasan Kadamaian.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Sabah Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, perluasan program itu penting untuk memastikan lebih banyak kampung mendapat manfaat, sekali gus memperkukuh hak pemilikan tanah dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sejak saya menjadi ADUN Kadamaian pada tahun 2018, Program PANTAS telah dilaksanakan di Mukim Kiau melibatkan tiga kampung, diikuti Kampung Tambatuon (Mukim Melangkap) dengan lima kampung, serta Mukim Sayap dengan dua kampung yang kini giat disukat,” katanya semasa berucap pada taklimat penyukatan tanah di bawah Program PANTAS Mukim Pinolobuh, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tahun ini Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah turut melaksanakan taklimat PANTAS di Mukim Nahaba (tiga kampung), Mukim Tengkurus (empat kampung) dan Mukim Pinolobuh (lima kampung), menjadikan pelaksanaan program itu semakin meluas di Kadamaian.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, khususnya JTU Sabah dan Pejabat Hasil Bumi Sabah, bagi memastikan kesinambungan program berkenaan di Kadamaian dan kawasan lain seperti Penampang.

Program PANTAS yang diperkenalkan sejak tahun 2011 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan itu bertujuan mempercepatkan penyukatan serta pengeluaran geran tanah Anak Negeri Sabah.

Menurut Ewon, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan peruntukan bagi meneruskan inisiatif pembangunan khas untuk masyarakat Anak Negeri Sabah.