Tiada Larangan Daripada WHO Buat Thailand Yang Bercadang Guna Vaksin Campuran COVID-19

Tiada Larangan Daripada WHO Buat Thailand Yang Bercadang Guna Vaksin Campuran COVID-19

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak melarang atau membantah tindakan Thailand yang bercadang untuk mencampurkan vaksin COVID-19 di negara itu.

Memetik laporan portal berita The Thaiger News, Thailand sebelum ini telah diberi amaran oleh Ketua Saintis WHO atas cadangan untuk menggunakan vaksin campuran itu.

Menurut sumber, vaksin jenis Sinovac yang kurang berkesan dalam mengekang penularan varian Delta di Thailand telah mendorong Pihak Berkuasa Kesihatan negara itu meluluskan rancangan untuk memberikan vaksin AstraZeneca sebagai suntikan penggalak kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac.

Namun, program itu memberi keutamaan kepada para petugas kesihatan kerana mereka adalah petugas barisan hadapan (frontliners) yang mana kumpulan paling berisiko dijangkiti COVID-19.

Ketua Saintis WHO, Dr. Soumya Swaminathan sebelum ini memberi amaran tentang bahaya mencampurkan vaksin kerana tiada kajian dan data cukup bagi memastikan kaedah itu selamat.

“Ia merupakan trend yang  bahaya. Kita tidak mempunyai data dan bukti tentang kaedah menggunakan vaksin campuran…

“Ini akan menyebabkan negara-negara menjadi huru-hara apabila penduduk mula menentukan siapa dan bila untuk mengambil dos kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Ketua Saintis WHO, Dr. Soumya Swaminathan…

Selepas Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Nasional Thailand meluluskan kaedah tersebut, wakil WHO di Thailand mengeluarkan maklum balas lebih ‘lemah’.

Kata mereka, amaran Swaminathan itu merujuk kepada risiko kerana kekurangan data serta bahaya apabila individu tidak terlatih menentukan vaksin yang boleh dicampur.

Sebaliknya, sektor kesihatan awam nasional yang bekerja di samping agensi kerajaan mempunyai akses kepada penyelidikan dan data untuk membantu membuat keputusan yang lebih tepat.

Penyelidikan yang tepat dan pemerhatian teliti akan mengurangkan risiko akibat campuran vaksin.

Thailand ketika ini meluluskan dos AstraZeneca tiga hingga empat minggu selepas suntikan pertama vaksin Sinovac.

Negara itu juga telah memberi lampu hijau bagi penggunaan AstraZeneca sebagai vaksin penggalak kepada petugas barisan hadapan dan petugas perubatan selepas lebih 600 pekerja hospital yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COV-19.

Pegawai kesihatan Thailand mengesahkan bahawa keputusan untuk mencampurkan Sinovac dan AstraZeneca dibuat susulan hasil kajian tempatan.