Kesedaran Awam dan Sokongan Keluarga Kunci Utama Lawan Penyakit Kanser – Razali

Kesedaran Awam dan Sokongan Keluarga Kunci Utama Lawan Penyakit Kanser – Razali

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser serta sokongan keluarga yang kuat menjadi kunci utama dalam membantu pesakit melawan penyakit berbahaya itu, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Razali Razi.

Beliau berkata, penganjuran program kesedaran oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis tempatan amat penting bagi memberikan maklumat tepat kepada masyarakat tentang pencegahan dan rawatan awal kanser.

“Apabila kita dengar perkataan ‘kanser’, ramai terus panik dan lemah semangat. Sebab itu, program seperti ini perlu diteruskan supaya masyarakat sedar pentingnya kekuatan mental, fizikal dan sokongan kekeluargaan dalam menghadapi ujian penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Penyakit Kanser anjuran bersama Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Darau dan Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah di Dewan Masjid Al-Munir, Darau, pada Ahad.

Datuk Razali turut menasihati orang ramai agar tidak terlalu bergantung kepada rawatan tradisional tanpa mendapatkan nasihat doktor bertauliah, sambil mengakui pendekatan alternatif boleh menjadi sokongan tetapi bukan pengganti rawatan perubatan moden.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan kelulusan bantuan kecil bagi pembelian tangki air untuk kegunaan komuniti setempat sebagai tanda sokongan kepada NGO dan aktivis tempatan yang gigih memperjuangkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.