Kerajaan Buka Ruang Penglibatan Rakyat Tempatan Dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah...

Kerajaan Buka Ruang Penglibatan Rakyat Tempatan Dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (Zon Timur) – PM

0
SHARE
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan hari ini (6 Nov)...

KINABATANGAN, SABAH – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob melancarkan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (Zon Timur) yang menghubungkan daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid hari ini.

Pembangungnan itu menerusi TIGA (3) Pakej Kerja iaitu ke-28, 29 dan 30, yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid sepanjang 58km dan berjumlah RM877 juta.

“Ia merupakan tambahan kepada 11 Pakej Kerja yang telah dimulakan pembinaan seawal tahun 2016…

“Skop pembinaan TIGA (3) Pakej Kerja ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari dua lorong ke empat lorong dari Sandakan Mile 32 ke Sungai Baoto.

“Ini turut melibatkan pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh, dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.

“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024,” kata beliau.

Ismail berkata dalam melaksanakan projek itu, kerajaan membuka ruang penglibatan untuk rakyat tempatan Sabah sepenuhnya.

“Ada yang telah dilantik sebagai perunding, pembekal mahu pun kontraktor serta mencipta peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia di Sabah…

“Selain itu ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga telah dapat dilahirkan dan secara langsung memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sabah khususnya sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata hasrat Kerajaan Persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi keutamaan terhadap pembangunan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan pembangunan seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia…

“Peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak merangkumi lebih 20 peratus daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan Bajet 2022 yang diagihkan ke negeri-negeri di Malaysia.

“Peruntukan ini bertujuan melaksanakan pembangunan infrastruktur air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sekali gus akan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP), projek itu bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sabah Economic and Development Authority (SEDIA) untuk membolehkan Negeri Sabah mencapai taraf negeri maju.

“Kerajaan yakin, Projek Lebuhraya Pan Borneo ini bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya,” kata Perdana Menteri.

Turut hadir dalam majlis, Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.