Lima Lagi Sekolah Terima Sumbangan Naik Taraf Pusat Sumber

Lima Lagi Sekolah Terima Sumbangan Naik Taraf Pusat Sumber

0
SHARE
Norlidah
Toh Puan Norlidah (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama warga SK Sipinong Sandakan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SANDAKAN, SABAH – Lima lagi sekolah rendah di Sabah menerima sumbangan bagi menaik taraf kelengkapan pusat sumber pada tahun ini.

Konsulat Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang berkata inisiatif bersama Yayasan Nur Jauhar (YNJ) itu bertujuan untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan di negeri ini khususnya murid-murid di kawasan luar bandar.

“Pada tahun ini, lima sekolah menerima sumbangan untuk menyediakan kemudahan serta bahan bacaan terutama untuk membantu murid-murid di luar bandar memperoleh pengetahuan ekstrakurikuler serta menggalakkan budaya membaca dan meningkatkan literasi saintifik mereka.

“Hari ini, saya berasa amat lega dan gembira melihat kemudahan membaca serba baharu dengan persekitaran serta pembelajaran yang sangat selesa untuk murid-murid,” ujarnya.

Berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Sumber Yayasan Nur Jauhar Sekolah Kebangsaan Sipinong, hari ini, Huang merakamkan penghargaan kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni atas kerjasama yang disifatkannya sebagai lambang persahabatan bilateral di antara Malaysia dengan negara republik itu.

“Dengan rendah hati, saya sangat berterima kasih kepada kemurahan hati serta ehsan Yang Amat Berbahagia Toh Puan yang telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam komuniti dan generasi seterusnya.

“Sokongan beliau terhadap pendidikan telah memperkasakan generasi baharu dengan menyediakan peluang yang mungkin tidak mereka miliki.

“Komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan masyarakat di Sabah sangat menyentuh hati serta membawa harapan dan kebahagiaan kepada golongan yang memerlukan.

“Bagi rakyat China, kita akan sentiasa menjadi sahabat kepada rakyat di Sabah dan akan terus bekerjasama untuk memberi dorongan kepada pembangunan ekonomi dan sosial serta menyumbangan kepada kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Pada majlis tersebut, Toh Puan Norlidah yang juga Penaung YNJ menyampaikan sumbangan daripada badan amal itu serta Jabatan Pendidikan Sabah kepada 114 pelajar di sekolah berkenaan.

Usai acara perasmian, beliau yang diiringi Guru Besar, Sazahlie Safar turut menyantuni warga sekolah serta para ibu bapa sebelum membacakan buku cerita kepada beberapa orang murid semasa lawatannya di pusat sumber.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Abidin Marjan mendedahkan lima buah sekolah yang menerima sumbangan bernilai RM10,000 ialah SK Magandai Kota Marudu, SK Bawang Beluran, SK Pekan Pensiangan, SK Gusi Ranau dan SJK (C) Sin Boon Sindumin.

Sumbangan untuk penyediaan kelengkapan pusat sumber sekolah terbabit disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dalam Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-kanak Istimewa dan Anak Yatim sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 di sini, semalam.

Pada 18 November lepas, SK Sipinong menerima sumbangan RM15,000 bersama tiga buah sekolah lain iaitu SK Imbak Tongod, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) PADA Tenom dan SK Sabur Banggi Kudat. — JABATAN PENERANGAN SABAH