TAMPARULI: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan minyak masak terbabas di Jalan Ranau berhampiran Murug-Turug Eco Tourism (MTET), Tamparuli, petang Khamis.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.02 tengah hari melalui talian MERS999.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dengan lapan anggota diketuai PBK I Norkizan Durudin dikerahkan ke lokasi sejauh 24 kilometer dan tiba pada jam 1.39 tengah hari.
“Kemalangan melibatkan lori Nissan 10 tan yang terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Dua lelaki terlibat dalam insiden itu, di mana seorang mangsa berusia 18 tahun mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 30 tahun, tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” kata pegawai jurucakap agensi l.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 petang setelah pihak bomba memastikan kawasan kemalangan dalam keadaan selamat.
 
             
	





