MA63; Fokus Kepada Kajian Kembalikan Hak Sabah, Bukan Semantik

MA63; Fokus Kepada Kajian Kembalikan Hak Sabah, Bukan Semantik

0
SHARE

KOTA KINABALU – Jawatankuasa Kajian Hak-Hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 lebih fokus kepada kajian untuk mengembalikan hak Sabah kepada negeri ini daripada membincangkan hal semantik atau bahasa yang digunakan dalam perjanjian itu dan dokumen berkaitan.

Menurut kenyataan Bernama, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang dipetik berkata bahawa jawatankuasa itu meneliti kandungan dokumen penting berkaitan hak Sabah bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah terjamin.

“Kita (Sabah) mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kita sendiri dalam sektor-sektor yang tersenarai dalam senarai negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, ada hak-hak Sabah seperti hasil dan peruntukan kewangan kepada negeri.

“Semuanya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini terbukti bahawa status Sabah dan Sarawak berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung. Fakta ini tidak boleh dipertikaikan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lajim Ukin (Harapan Rakyat-Klias) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wilfred Bumburing (PCS-Tamparuli), Teo berkata kerajaan negeri sedang berbincang dengan kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak berhubung zon ekonomi negeri, termasuk yang berkaitan Akta Laut Wilayah.

Beliau turut memberitahu bahawa Perjanjian Malaysia memberi peruntukan merangkumi semua perkara  dan yang terkandung di dalamnya bukan semua tersenarai dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, beliau berkata jawatankuasa itu membincangkan semua perkara berkaitan Sabah agar negeri ini terus menikmati hak keistimewaan yang diberikan.

Teo menjawab soalan selama hampir sejam mengenai tindakan kerajaan negeri dalam usaha menjamin hak dan kepentingan Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia.