KOTA KINABALU, SABAH – Majikan tempatan mahupun asing diberi amaran keras agar mematuhi Ordinan Buruh Sabah atau bersedia berdepan tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata demikian merujuk kepada kes pekerja tempatan yang bertindak memukul majikan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) kerana kelewatan gaji.
Beberapa rakaman insiden pada tengah hari Sabtu itu telah tular di media sosial dan membabitkan kira-kira 600 pekerja.
Difahamkan tiga warganegara Korea telah dipukul sehingga mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital.
“Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Wan Zulkfli Wan Setapa menjadi mediasi bagi kes kelewatan pembayaran gaji untuk bulan Mac ini.
“Sepatutnya gaji mengikut perjanjian perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan. Berlaku kelawatan gaji sehinggi kini dan pekerja berasa tidak puas hati sehingga memukul majikan mereka.
“Walau bagaimanapun, pihak majikan telah bersetuju bahawa gaji akan mula dibayar pada hari ini (17 April) dan esok.
“Bagi memastikan proses benar berlaku pihak JTK akan berada di tapak pembinaan dan mendengar aduan jika masih berlaku kelewatan bayaran gaji.
“Mungkin ada lagi pekerja yang belum dibayar sejak bulan Januari dan Februari. Kita tidak mahu kes ini berulang,” katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis Sungkai Rakyat di Masjid Al-Munir di Kg Darau, Sepanggar, di sini, semalam yang dianjurkan HRD Corp dan Pejabat Parlimen Sepanggar dalam usaha merapatkan komuniti.
Tidak diketahui jika tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemukul namun Mustapha berkata laporan polis telah dibuat oleh mangsa warganegara Korea terbabit.






