Anggota Polis Putus Kaki Kanan Bertembung Jip

Anggota Polis Putus Kaki Kanan Bertembung Jip

0
SHARE
Kemalangan
Keadaaan motosikal mangsa selepas dirempuh ( Sumber Foto: Gambar tular di media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang Koperal dari bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) putus kaki kanan apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip di Jalan Lintas, di sini, semalam.

Difahmakan mangsa berusia 35 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum insiden 9.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, menurut saksi kejadian, pemandu jip dikatakan membuat pusingan U di tempat yang salah.

Katanya, terdapat pemandu lain yang membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu berkenaan, namun kenderaan itu sudah masuk ke laluan sebelah.

“Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran.

“Akibatnya, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu jip tidak mengalami sebarang kecederaan dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu jip sudah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Kenderaan beliau ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.